Kenyataan Media Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan (ROYALTI)
Royalti: Ketua Pemuda UMNO Malaysia Persis “Burung Kakaktua”
Kami Merujuk kepada laporan Malaysiakini pada Jun 24 2012 bertajuk – “Khairy: Royalti minyak Kelantan tidak diberikan terus”.
Antara petikan berita:
• Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata negeri Kelantan telah diberikan royalti minyak melalui satu jawatankuasa yang diketuai timbalan menteri kewangan Datuk Awang Adek Hussin.
• "Kita salurkan duit royalti itu melalui jawatankuasa di bawah Awang Adek . Kita tak bagi pada kerajaan negeri, tapi kita bagi terus pada rakyat," kata Khairy di Bengkel Sukarelawan Pemuda BN di PWTC petang ini.
Pihak ROYALTI ingin bertanya kepada Ketua Pemuda UMNO Malaysia, dari manakah Ketua Pemuda UMNO Malaysia mendapat maklumat bahawa Kelantan menerima Royalti dan ianya tidak diberikan secara terus kepada Kerajaan Negeri Kelantan?
Apakah Ketua Pemuda UMNO Malaysia tidak tahu bahawa pembayaran Royalti kepada Kerajaan Negeri Kelantan tidak pernah dibuat oleh PETRONAS sejak Hasil Minyak dan Gas Negeri Kelantan disedut keluar dari Perut Bumi Negeri Kelantan dari tahun 2005 atas arahan Kerajaan Pusat?
Pihak ROYALTI menyarankan supaya Ketua Pemuda UMNO Malaysia meneliti semula jawapan Perdana Menteri Malaysia didalam Dewan Rakyat pada 10hb. Mei, 2009 (rujuk keratan akhbar). Kami percaya pada ketika Perdana Menteri Malaysia menjawab soalan-soalan Ahli-Ahli Parlimen dari Kelantan, Ketua Pemuda UMNO Malaysia sudah memegang Jawatan Ahli Parlimen Rembau dan seharusnya beliau juga berada didalam Dewan Rakyat atau apakah Ketua Pemuda UMNO Malaysia tidur ketika perbahasan berkenaan Royalti dan Wang Ehsan dibuat?
Seperkara lagi, Pihak ROYALTI juga ingin bertanya apakah Ketua Pemuda UMNO Malaysia tidak tahu bahawa pada 30hb. Ogos, 2010 di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Bahagian Perdagangan, Kerajaan Negeri Kelantan yang diwakili oleh Menteri Besar Negeri Kelantan telah memfailkan Saman terhadap PETRONAS kerana kegagalan PETRONAS membayar Royalti Minyak dan Gas kepada Negeri Kelantan seperti yang dipersetujui didalam Perjanjian 1975 dan Perbicaraan terhadap Saman berkenaan masih berjalan sehingga ke hari ini?
Amat malang bagi Pemuda UMNO Malaysia diketuai oleh seorang Ketua Pemuda yang tidak tahu apa-apa maklumat berkenaan Royalti Minyak dan Gas Negeri Kelantan dan mengeluarkan kenyataan persis “Burung Kakaktua”, petah bercakap tapi tidak pernah faham dan tahu apa yang diucapkan.
Pihak ROYALTI ingin membuat Penegasan dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia perlu tahu bahawa setakat hari ini, Negeri Kelantan TIDAK PERNAH MENERIMA WALAU 1 SEN PUN bayaran Royalti dari PETRONAS seperti yang termaktub, dipersetujui dan ditandatangani oleh Kerajaan Negeri Kelantan dan PETRONAS dalam Perjanjian Minyak dan Gas pada 9hb. Mei, 1975.
Ketua Pemuda UMNO Malaysia juga WAJIB tahu bahawa tanggungjawab membayar Royalti kepada mana-mana Negeri yang mempunyai Minyak dan Gas BUKANLAH TANGGUNGJAWAB KERAJAAN PUSAT sebaliknya ia adalah TANGGUNGJAWAB PETRONAS sebagai pihak yang diberi Seluruh Hak Pemunyaan, Hak-Hak, Kuasa-Kuasa, Kebebasan-Kebebasan dan Keistimewaan-Keistimewaan Ekslusif untuk Mencari, Mengeksploit, Mendapatkan dan Memperolehi Petrolium yang berada Di Pantai atau Di Luar Pantai Malaysia mengikut Akta Kemajuan Petrolium 1974.
Pihak ROYALTI juga mahu Ketua Pemuda UMNO Malaysia menyampaikan pesanan dari Rakyat Negeri Kelantan kepada Perdana Menteri Malaysia supaya JANGAN JADI PENDERHAKA yang MENGKHIANATI AMANAT BAPANYA memandangkan individu yang merangka Perjanjian yang ditandatangani oleh Kerajaan Negeri Kelantan dan juga PETRONAS pada 9hb. Mei, 1975 antaranya ialah Allahyarham Tun Razak bekas Perdana Menteri Malaysia yang juga bapa kepada Perdana Menteri Malaysia sekarang YAB Dato’ Seri Najib.
MOHD FAUZI BIN MOHD AZMI
Pegawai Media Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan (ROYALTI)
ala...knyataan biase la tuh...'nk sapu bontot bos' jage 'perut ana bini'...rase cm nk lu*** je muka KJ nh...
ReplyDelete