Monday, 21 June 2010

Sidang Media GEGAR: Memorandum Cadangan Penggunaan Wang RM400 Juta

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang..

GEGAR ingin mengambil kesempatan pada Sidang DUN Negeri Kelantan 2010 bagi menyerahkan hasil Resolusi Himpunan 100,000 Rakyat yang dianjurkan oleh kami iaitu sebuah badan bukan Kerajaan (NGO) iaitu Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) yang telah mengadakan program pad28 Januari 2010 bersamaan 14 Rabiul Awal 1431H (Khamis) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan. Selain itu peserta program Diskusi Royalti Minyak Mengikut Perspektif Undang-Undang pada 6 Mac 2010 bersamaan 20 Rabiul Awal 1431H (Sabtu) di Dewan Utama, Balai Islam, Kota Bharu, Kelantan menyokong penuh usaha tuntutan kembalikan wang royalti kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

Melalui Himpunan dan Diskusi tersebut, GEGAR mewakili seluruh rakyat Kelantan telah secara sebulat suara bersetuju menyatakan pendirian kami iaitu:

1. Royalti Petroleum adalah Hak Rakyat Kelantan dan mesti dipulangkan kembali berasaskan segala fakta sejarah dan undang-undang iaitu Akta Kemajuan Petroleum 1974.

2. Perjuangan mendapatkan kembali Royalti Minyak adalahPerjuangan Rakyat Kelantan tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum.

3. Hanya Royalti atau bayaran tunai sahaja yang tercatat dalam perjanjian di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974. Dari sudut undang-undang, Wang Ehsan, Dana Khas atau apa jua istilah lain bagi menggambarkan Royalti adalah tidak sah dan tidak boleh diterima sama sekali.

4. Kegagalan PETRONAS dan Kerajaan Persekutuan menyerahkan royalti atau ‘cash payment’ 5 peratus kepada Kerajaan Negeri sebanyak 2 kali setahun adalah satu pencabulan semangat federalisme (hubungan Federal dan negeri), Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian antara Negeri Kelantan dengan PETRONAS pada 19 Mei 1975.

5. Tindakan mana-mana pihak yang menafikan hak Royalti untuk Rakyat Kelantan adalah suatu kezaliman, penganiayaan, penindasan dan juga mencabuli perjanjian antara Kerajaan Negeri dengan PETRONASserta dikutuk di sisi agama dan bertentangan dengan nilai-nilai sejagat.

Dengan ini GEGAR mewakili rakyat Negeri Kelantan bertegas sekiranya wang royalti diperolehi, yang dianggarkan sebanyak RM400 juta setahun hendaklah digunakan oleh Kerajaan Negeri bagi 3 fokus utama iaitu:

KEBAJIKAN – RM200 JUTA

RM40 juta setahun untuk Tabung Warisan Masa Depan Bagi Seluruh Rakyat Kelantan
Bekalan Air Percuma Seperti Kerajaan Selangor
Rumah Percuma Untuk Fakir Miskin
Takaful Modal Insan Kepada SEMUA Bayi Yang Lahir Di Kelantan.
Elaun Warga Emas 60 tahun keatas
Tabung Penyakit Kronik
Skim Takaful Kifalah
Tabung Kebajikan OKU
Tabung Mas Kahwin
10.Tabung Kebajikan Armalah

11. Tabung Fakir Miskin

12. Sistem Kupon Makanan

13. Tabung Bantuan IKS

KEMUDAHAN AWAM – RM100 JUTA

Baikpulih Sistem Jalan Raya dan Perparitan
Tingkatkan Kualiti Bekalan Air
PEMBANGUNAN MODAL INSAN – RM100 JUTA

Biasiswa Pendidikan Tinggi
Tabung Kursus Kemahiran
Menubuhkan Akedemi Dakwah
Tabung Pendidikan Pelajar Miskin
Justeru itu, GEGAR mencadangkan agar Kerajaan Negeri menubuhkan satu Suruhanjaya Bebas yang bertangungjawab kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memantau pengangihan Wang Royalti tersebut, agar wang tersebut dapat dirasai oleh Seluruh Rakyat Negeri Kelantan.

Sekian, terima kasih.
Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat ( GEGAR )
www.royaltirakyat.blogspot.com
21 Jun 2010

Gegar buat laporan polis JPP agih wang ehsan

KOTA BHARU, 13 April: Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) hari ini membuat satu laporan polis berhubung penyalahgunaan kuasa oleh Kerajaan Persekutuan dalam pembahagian wang rakyat melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dengan menggunakan nama wang ehsan.
Pengerusi bersama Gegar, Dr Abdul Halim Yusof yang bertindak membuat laporan tersebut supaya pihak polis membuat siasatan terhadap program pengagihan wang ehsan yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah 1, Machang pada 3 April, dalam Program Juara Rakyat peringkat Kelantan seperti mana dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 4 April lalu.

Abdul Halim membuat laporan tersebut kerana meragui wang ehsan yang telah diagihkan itu adalah dikatakan wang hasil penggerudian petroleum dari kawasan perairan Kelantan.

Merujuk Akta Pembangunan Petroleum 1974, Abdul Halim meminta pihak polis menyiasat hal itu dalam tiga aspek iaitu, penggunaan dan pengagihan wang ehsan tersebut, pengagihan wang melalui agensi Kerajaan Persekutuan dan tidak melalui kerajaan negeri sebagaimana maksud akta tersebut dan kaedah pengagihan wang ehsan dan bagaimana ia diakaunkan.

“Sekiranya wang ehsan tiada kaitan dengan penghasilan petroleum, saya mohon polis menyiasat peruntukan 25 juta untuk wang ehsan ini adakah diperuntukkan melalui bajet yang diluluskan Parlimen melalui Akta Bekalan?

“Saya mengharapkan penyiasatan dibuat untuk memastikan ketelusan dan tiada penyelewengan dalam penggunaan wang rakyat,” katanya ditemui selepas laporan tersebut dibuat.

Abdul Halim yang diiringi kira-kira 30 penyokong membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Bharu, di Pengkalan Chepa, kira-kira 5.30 petang ini.

Pemuda PAS negeri turut hadir sama sebagai tanda sokongan terhadap hasrat murni Gegar itu.

Sebagai rakyat Kelantan, Abdul Halim menegaskan laporan berkenaan dibuat atas rasa rasa tanggungjawab yang mahukan agar segala hasil bumi Kelantan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat negeri ini secara sama rata.

“Saya yakin pihak bertanggungjawab akan bertindak adil dengan laporan ini,” ujarnya.